Jiwa seorang mukmin itu pastinya ditarbiyyah untuk berhadapan dengan pelbagai ujian dan kesukaran. Ada kalanya ujian yang menimpa berbentuk kesenangan – kemewahan hidup, kejayaan dan sebagainya. Kesenangan seperti ini walau dilihat bukanlah sesukar ujian kepayahan dan keperitan hidup, namun hakikat ujian ini tidak kurang cabarannya. Seseorang yang diuji dengan kemewahan hidup, memiliki harta yang melimpah ruah dan kekayaan yang berganda tentu sahaja perlu memikirkan bagaimana dan ke mana perlu disalurkan wang dan harta yang dimiliki. Adakah untuk kegunaan sendiri dan keluarga semata-mata atau terfikirkah untuk menginfakkan ke jalan Allah?

 Kesukaran dan kepayahan dalam hidup juga sebahagian dari ujian. Walau nyata berbeza sebagaimana ujian berbentuk kesenangan, realitinya ini adalah ujian, yang akan menguji tahap keimanan seorang hamba. Perjalanan hidup bagi seorang manusia lazimnya akan melalui berbagai cabaran dan dugaan. Untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang insan, memerlukan perjuangan yang berterusan tanpa noktah. Hatta untuk mendapatkan sesuap nasi bagi mengalas perut sekalipun, memerlukan perjuangan, berkorban tenaga dan masa. Itulah perjuangan yang menuntut infiniti pengorbanan. 

Begitu juga ujian kesusahan dan kemalangan yang menimpa diri. Di sinilah ukuran keimanan yang sebenar bagi seorang mukmin. 

 Kehidupan merupakan satu medan ujian bagi hamba yang beriman, sehinggalah saat dan tikanya lambaian kematian menjelma. Kematian juga adalah sebahagian dari ujian setelah melalui detik perjalanan sebuah kehidupan yang telah ditetapkan. Kematian inilah saat yang tak mungkin dimungkiri dan dihindari walau seorang menteri, pegawai tinggi, hinggalah rakyat biasa. “Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu. 

Apakah dikira segala hutang yang masih belum dilangsai, persengketaan yang belum lagi terlerai, janji yang tak tertunai, cita-cita yang masih tak tercapai, kejayaan yang belum sempat digapai mampu menangguhkan saat dan ketentuan ajal yang datang? Tidak kira sesiapapun, maut tetap datang menjemput. Sama ada ahli keluarga yang tercinta, sahabat handai yang dikasihi, guru-guru yang dihormati, rakan-rakan seuniversiti, dekat mahupun jauh, ataukah diri kita sendiri yang masih terkapai dalam pencarian ini, andai telah ditentukan saatnya, akan pergi jua akhirnya meninggalkan dunia yang fana, bukan untuk seminit dua, bahkan untuk selama-lamanya. Waktu yang tak mungkin dapat diundur, lalu tinggallah segala kegembiraan yang pernah dikecapi, abadilah segala kenangan bersama, detik suka mahupun duka akan berputar kembali memenuhi ruang fikiran teman-teman yang ditinggalkan. Saat ini disedari betapa tinggi dan bernilainya sebuah uhkuwwah dan persahabatan yang terbina. Tika ini jualah mengerti dan menghargai seorang insan yang takkan dapat lagi hidup bersama di dunia. Seterusnya, penyesalan demi penyesalan yang tidak punyai makna apa-apa…  

Cukuplah mati sebagai peringatan buat diri seorang mukmin. Padanya tiada yang lebih berharga di dunia, keluarga, pangkat, mahupun harta melainkan keredhaan dariNya, dan pengharapan agar dapat dipertemukan dengan Yang Maha Pencipta, pemilik segala hati manusia. Apabila mati menjadi peringatan, terlerailah segala persengketaan, bersemilah ukhuwwah dan terbinalah persaudaraan, tertunailah segala janji yang dipatri, terlaksanalah tanggungjawab dan amanah Allah, kan terlangsailah jua hutang yang terkumpul. Peringatan buat diri yang sentiasa alpa, leka dengan nikmat dunia yang bersifat sementara, agar memperteguhkan iman dan ilmu, memperbanyakkan amal sebagai bekal, menuju ke satu destinasi yang pasti dan abadi. Bangkit dari lena, teruslah bermujahadah, thabatkan diri dalam perjuangan yang suci ini, walau diri lemah dan tidak berdaya, walau diri tidak punya apa-apa, tetapi tenanglah duhai hati seorang mukmin, yakinlah dengan janji Ilahi, kesabaran menghadapi ujian membuahkan hasil yang tidak akan mengecewakan……!

Advertisements